Tuesday, May 28, 2019

7 Cara Membantu Guru yang Sukar Mengingati Nama Murid dalam Perlaksanaan PBD

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.



Tajuk post ini sudah cukup menjelaskan dilema para guru dalam melaksanakan PBD secara berkesan.

Bukan semua guru terlibat. Guru yang mengajar dan berjumpa murid sejam seminggu akan menghadapi masalah ini. Namun, sekali lagi saya tegaskan bukan semua guru. Kesukaran ini hanya dihadapi oleh guru tertentu sahaja. Faktor usia juga memainkan peranan kenapa ada yang tidak dapat mengingati nama murid mereka.

Saya memandang sesuatu masalah sebagai satu peluang menyelesaikan masalah. Justeru, apakah penyelesaian masalah ini?

Penyelesaian pertama

Ambil gambar semua murid, asingkan lelaki dan perempuan. Cetak gambar tersebut, minta murid menulis nama mereka di gambar tersebut. Bukan cikgu yang tulis, biarkan murid menulis sendiri. Ini kerana, cikgu akan mudah mengecam tulisan murid andai kata murid tidak menulis nama pada lembaran kerja. Hebat betul cikgu selepas ini. hehehehehe...

Selalulah melihat gambar murid sambil mengingati nama ringkas beliau.

"Eh, macam banyak masa pula nak menghafal nama murid ni?"

Yalah cikgu, masalah amat besar jika tidak ingat nama murid. Sekarang zaman murid dinilai secara individu. Zaman Pentaksiran Bilik Darjah. Jika kita tidak mencari jalan penyelesaian, kita juga yang susah melaksanakannya.

Penyelesaian Kedua

Masalah akan datang apabila perlu mengisi template pelaporan murid. Cikgu perlu membuat rekod transit sendiri. Letakkan gambar murid bersama nama mereka. Saya lebih suka menggunakan borang online. Cikgu boleh copy paste contoh borang semakan online yang saya buat dengan gambar murid di situ. Saya percaya subjek yang mencabar mengingati nama murid ialah subjek Sains, PJPK, Bahasa Arab dan Pendidikan Kesenian.

http://bit.ly/etransitformPendidikanKesenianVersiGambar



Penyelesaian Ketiga

Bersegera membuat penilaian PBD. Selesaikan sebelum keluar kelas. Contoh, mengenal benda hidup, terus tandakan TP murid dalam buku rekod mengajar. Sempat lah nak tanya murid, "Kamu nama siapa sayang?" tanyalah dengan penuh kelembutan supaya murid tidak kecewa, cikgu tidak kenal namanya.

Penyelesaian no 3 ni seperti susah nak buat, tambahan mengajar tahap 1. Semua cikgu kena pantau.

Jangan bimbang, jika tidak berdaya menulis di dalam buku rekod pada masa tersebut, kita gunakan teknologi. Baca seterusnya.

Penyelesaian Keempat

Bersegera membuat penilaian PBD dengan menggunakan aplikasi HP. Saya selesa menggunakan Evernote (ikon gajah bewarna hijau) Cikgu boleh muatturun di Play Store, ianya percuma.

Evernote boleh rakam suara secara audio. Oleh itu, selepas keluar kelas, segera lah bercakap di audio tersebut dan rakam lah. Siapa yang mencapai TP tersebut, siapa yang tak buat kerja, dan siapa yang perlu bimbingan. Selepas rakam dalam 1 minit tu, cikgu boleh lah teruskan kerja lain, apabila berkelapangan, jangan lupa isi dalam rekod transit masing-masing.

Penyelesaian Kelima


Gunakan HP juga, ambil gambar aktiviti dan murid yang terlibat. Sebagai contoh, pada sesi pdp tersebut, cikgu menguji TP 5. Ambil gambar mereka yang mencapai 5 saja. Send gambar tersebut ke dalam Private Group Telegram atau buat folder khas untuk kelas dalam hp tersebut. Jika cikgu dah buat Penyelesaian pertama tadi, cikgu dah boleh isi nama murid yang mencapai TP 5 dalam rekod transit. Rujuk je gambar kelas yang diambil awal tahun.

Penyelesaian Keenam

Biar murid berada dalam kumpulan yang sama selama sekurang-kurangnya dua bulan. Nampak kaedah ini macam membosankan saja kan? Yalah murid itu tidak bertukar tempat duduk langsung. Sebenarnya, kedudukan murid itulah membantu kita guru mengecam mereka dengan mudah. Saya sememangnya tidak menukar tempat duduk murid dengan kerap. Saya membentuk mereka serasi dalam satu kumpulan. Selain itu, ia membantu guru lain memerhati mereka dengan berkesan.

Penyelesaian ketujuh

Kaedah ini memerlukan kerjasama pentadbiran sekolah khasnya GPK1. Beliau insan bertanggungjawab menyusun jadual mengajar cikgu. Seharusnya, dengan rendah hati, minta lah pada GPK1 untuk mengajar kelas yang sama tetapi subjek yang berlainan. Sebagai contoh, cikgu mengajar sains, PJPK, Pendidikan Kesenian di kelas yang sama. Lagi banyak masa bersama murid, lagi senang cikgu mengecam murid.

Saya berharap cadangan penyelesaian ini dapat membantu guru mengingati nama murid. Sejujurnya, saya sendiri mengambil masa sebulan untuk mengecam murid, sedangkan saya bersama murid 9 masa setiap minggu.

TP murid ini penting bagi melihat perkembangan mereka secara menyeluruh. Cikgu pasti teruja apabila melihat murid berjaya menapak daripada TP3 ke TP4 dan seterusnya. Untuk melihat ini, cikgu perlukan rekod transit yang bersistem dan kemahiran mengecam yang konsisten.

 InsyaAllah, habis usaha, kita mohon doa moga Allah bagi ingatan yang kuat dalam menjalankan amanah Allah ini.

Sekian,



*Segala pendapat dalam post ini adalah ilham daripada Allah SWT. Tiada kaitan dengan sesiapa berdekatan atau bersekolah bersama saya*



No comments:

Post a Comment