Tuesday, April 30, 2019

Empat Kaedah Kutipan Data Tahap Penguasaan di Template Pelaporan PBD di Sekolah.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.


 Menjelang Mei, SU PBS dah mulai sibuk menetapkan tempoh kutipan data template pelaporan. Ada sekolah yang boleh selesai kutipan dalam tempoh seminggu, ada yang tiga-empat minggu, ada yang berminggu-minggu. Sekolah saya selesai kutipan selepas sebulan setengah tahun lepas. Fuh, lama juga kan? Saya berharap tahun ini, dapat mengutip data seawal mungkin, menjelang Jun. Tambahan lagi, umat Islam akan merayakan Aidilfitri dalam bulan Jun. Saya pun nak raya juga. Hehehe..



Ada 4 medium yang boleh digunakan oleh SU PBS untuk kutipan template pelaporan. Ini hasil daripada pengalaman saya mengemudi PBS di sekolah, memasuki tahun ke-8. Pengalaman banyak mengajar dan mendidik. Daripada tiada kemahiran menggunakan excel, terus tahu sikit-sikit disebabkan template pelaporan PBD dalam excel. Nak tak nak, terpaksa belajar.

Jom kita baca 4 kaedah yang boleh diaplikasikan untuk kutipan template pelaporan.

 Kaedah Pertama 


Menggunakan komputer di pejabat. Cara ini biasa digunakan pada awal-awal template pelaporan dikeluarkan. Letakkan satu folder khas di dalam Desktop komputer, kemudian, guru-guru akan memasukkan data mereka di situ. 

 Kebaikan: Prosedur senang, kerana masing-masing sudah cekap menggunakan komputer. 

Cabaran: kena beratur panjang la pula. Andai kata, ramai isi pada minit-minit terakhir, bersedialah untuk beratur dan ambil giliran. Kena isi di pejabat saja, habis masa pejabat, dah tak boleh isi. 

 Kaedah Kedua

Tidak perlu memasukkan data dalam mana-mana komputer pun, cukup sekadar, cikgu menyimpan template dalam bentuk kertas. Setiap guru, mencetakkan template pelaporan subjek masing-masing, dan menyerahkan kepada SU PBS. Siap sedialah SU bergelumang dengan kertas putih yang tebal. Lepas tu SU pening sendiri nak menyusunnya. 

Kebaikan: Lagi mudah, terus dapat dalam bentuk cetakan. 

Cabaran: membazir kertas, kertas banyak, fail pun jadi banyak, kemudian apabila perlu data keseluruhan, terseksa SU nak mencari data. Itu belum lagi cerita ada guru yang hantar dan ada guru yang tidak hantar. Anda rasa saya ada masa sakit kepala? Ya, memang sakit pun. Hihihi.. 

Kaedah Ketiga

Kaedah ketiga ini lebih maju seiring dengan zaman teknologi. Sekolah saya menggunakan medium ini tahun lepas. Iaitu Telegram. SU PBS akan membuat Group Tahun untuk PBD, guru-guru perlu menyertai group tersebut. Bermula dengan guru kelas, mengisi nama, no my kid dan jantina. Cikgu seterusnya akan mula mengisi data Tahap Penguasaan dan menghantar semula dalam Group Telegram. Cikgu seterusnya akan memuatturun dan menghantar semula di Group. Proses akan berlangsung sehingga habis kesemua subjek untuk template gabungan. 

Kebaikan: Guru boleh akses dari mana-mana lokasi dengan syarat ada Telegram.

 Cabaran: Cikgu yang cekap dan cepat buat kerja akan segera mengisi template,jika kebetulan ada dua orang guru mengisi pada masa yang sama, dihantar pada masa yang berbeza, template gabungan itu akan kosong lagi pada subjek yang diisi itu. Sekali trafik laju, ramai muatturun dan hantar, cikgu lain jadi keliru dan memuatturun template yang bukan terbaru. SU PBS pun perlu semak setiap kali cikgu isi kan, sampai perlu ada carta senarai semak untuk memastikan subjek yang belum diisi. Saya dah rasa pengalaman ini. Boleh dikatakan banyak kerja juga jadinya. 

Kaedah Keempat

 Kaedah keempat ini lebih canggih. Penggunaan Google Sheets.

 Segala data akan automatik disimpan di dalam Google Drive. Google sheets perlu dikongsikan bersama guru-guru subjek melalui email supaya lebih privasi. Maka, hanya guru yang mengajar kelas tersebut saja mempunyai akses kepada link ini.

 Namun, menukarkan format Excel kepada Sheets bukan satu tugas yang mudah. Ada guru yang pakar yang telah membantu menukarkan Template Pelaporan Excel kepada Sheets tanpa menjejaskan formatnya. Tabik kepada guru ini. 

 Kebaikan: Senang diakses, melalui telefon bimbit, ataupun melalui komputer kerana data disimpan di dalam Google Drive. Setiap kali guru mengisi, data akan disimpan automatik tanpa perlu menekan butang save. 

Cabaran: perlu akses internet yang baik. Guru perlu belajar menggunakan Sheets, ini kerana bukan semua guru biasa dengan Google Sheets. 

 Ada tak mana-mana medium yang cikgu gunakan di sekolah cikgu? Mungkin ada medium lain yang cikgu gunakan tetapi saya tidak nyatakan. Jika ada, cikgu boleh tambah di komen ya. 

 Bagaimana cikgu melaksanakan kutipan data Tahap Penguasaan pada tahun 2019 ini? Ada tak terfikir menggunakan mana-mana medium di atas? Apa pun pilihan cikgu, terpulanglah, asalkan pelaporan ini sampai kepada waris/ibu bapa murid. Sudah setengah tahun belajar, tentunya ibubapa/waris ingin tahu perkembangan anak mereka.

 Tahun 2019 ini, saya berhajat untuk menggunakan kaedah keempat, iaitu menggunakan Google Sheets. Saya sedar, benda baru yang akan dilaksanakan boleh jadi mudah, atau boleh jadi sukar bergantung kepada penerimaan cikgu-cikgu lain. Kita di sekolah, bukan semua biasa dengan komputer. Setiap orang ada kepelbagian kecerdasan tersendiri. 

Saya berasa sangat bertuah, semasa mesyuarat PBS Kali kedua, semua bersetuju mengikut cara SU PBS. Maka, saya terus mencari template dalam bentuk Google Sheets untuk melaksanakan hasrat saya kali ini. Jika cikgu berminat, saya akan share link template google sheets ini dalam post saya yang lain ya.

 Sekian.


No comments:

Post a Comment